PERUTUSAN YAB DATO’ SRI NAJIB TUN ABDUL RAZAK SEMPENA HARI BELIA NEGARA 2011

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
PEMBUKA
1. Pertama-tamanya
saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Belia
kepada seluruh warga belia Malaysia. Sesungguhnya golongan belia sebagai
kumpulan demografi terbesar rakyat Malaysia amat penting kepada hala tuju dan
masa depan negara.
BELIA PEMANGKIN TRANSFORMASI
Saudara saudari sekalian,
2. Hari ini negara
sedang menangani cabaran yang monumental, iaitu cabaran untuk merealisasikan
wawasan kebangsaan bagi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi
menjelang fajar 2020. Malaysia memiliki tradisi unik bersikap
pragmatik dan bukan dogmatik , mengambil jalan yang perlu sama ada ia
senang mahupun sukar bagi memetakan laluan nasional yang
bersifat transformatif. Inilah keunikan negara kita dari merebut kemerdekaan
secara rundingan, mengukuh perpaduan nasional melalui integrasi dan bukannya
asimilasi, menghapuskan pemberontakan komunis dengan memenangi hati dan
fikiran, membangunkan kawasan luar bandar secara sistematik, membina
infrastruktur asas secara di hadapan keluk, menarik pelaburan asing bagi
merangsang proses perindustrian dan hari ini meningkatkan kedudukan negara
dalam rantaian nilai global.
3. Kerajaan penuh
percaya bahawa usaha untuk mencapai aspirasi nasional ini hanya akan berjaya
menerusi perubahan dan pembaharuan secara lonjakan berganda, bukan lagi usaha
secara eceran atau berdikit-dikit. Ke arah matlamat ini lahirlah Program
Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), serta Model
Baru Ekonomi (NEM); bersama dengan Rancangan Malaysia ke-10 yang menjadi
asas lonjakan Negara kita bagi pusingan terakhir ke arah Wawasan 2020.
4. Kejayaan wawasan
dan kesemua prakarsa nasional ini memerlukan sumbangan pro-aktif golongan
belia yang seharusnya menjadi penggerak yang memacu Negara ke tahap yang kita
impikan. Maka amat sesuai tema bagi Hari Belia Negara 2011, “Belia Pemangkin
Transformasi”.
BELIA MENCERMIN KEUNGGULAN NEGARA
Saudara dan saudari,
5. Golongan belia
mencerminkan harapan masa hadapan negara; saudara saudari semua adalah penting
untuk masa depan Negara – “the best hope for the nation’s future”. Semangat dan
azam yang membara di kalangan anak muda, seharusnya disalurkan ke arah
aktiviti-aktiviti bermanfaat yang dapat membangunkan diri dan mengambil
peluang sosioekonomi yang kian bertambah.
6. Semangat
kesukarelawan juga harus dinyalakan kembali, dipacu oleh daya tenaga serta
idealisme golongan belia . Taburlah khidmat bakti dengan penuh keikhlasan
kerana wang ringgit tidak akan kekal namun budi baik yang tetap
dikenang.
1MALAYSIA PENYULUH KEMARAAN
Saudara saudari sekalian,
7. Berpaksikan konsep
1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, saya percaya golongan
belia akan terus memacu Negara ke hadapan. Sebagai pewaris bangsa, agama dan
Negara, golongan muda sewajarnya meneruskan perjalanan mulia ini, lebih-lebih
lagi dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional.
8. Semoga tahun 2011
dan seterusnya akan menyerlah dengan adanya penglibatan tenaga muda di dalam
Arus Perdana Negara. Tampil ke hadapan mengambil tampuk utama transformasi
Negara. Jadikanlah usia muda ini sebagai landasan ke masa hadapan yang
diingini, yang diimpikan.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabaraktuh.
No comments:
Post a Comment